Membujuk lara hati..
bujuklah!!
Alhamdulillah. Ucap bibir ini tatkala selesai makan malam. Malam ini saya dan sabahat, makan seperti biasa. Mungkin orang lain tidak biasa dengan cara kami berdua. Mungkin pada masa ini ramai yang berada di kedai-kedai mewah, makan makanan yang segar dan panas-panas. Saya dan sahabat sudah terbiasa begini. Sudah 4 tahun kami bersama menyelesaikan perjuangan di peringkat ijazah, apa yang kami makan tengahari, pada sebelah malamnya juga makanan yang sama juga kami santap. Bila mana saya bercerita (apabila ada yang berTanya), sesetengah orang berkata ‘eh..tak basi ke mar??’. ada juga yang berkata ‘eeee tok leh kawe, sejuk!’. Berkata seorang sahabat. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah mengangguk sahaja dan senyum (dengan niat supaya orang itu gembira). Tadi bila saya mula menjamah makanan yang ada, saya tidak mampu untuk menghabiskan makanan yang ada. Bukan tidak sedap, tapi tidak tahu entah kenapa. Setiap hari makanan yang saya makan semuanya sedap walau dipandangan mata orang yang tidak biasa dianggap pelik. Mungkin saya banyak fikir. Perlu rehatkan minda barangkali.Dan benak saya hanya berkata ‘ amar, ini perlu dijurnalkan dalam diari kehidupan’. Ikan yang di goreng tetapi sejuk. Dan ini lah makanan yang kami santap. Dengan perasaan yang lapar, maka makan sahajalah.Tidak kiralah apa yang orang kata, inilah saya. Mahu atau tidak. Beginilah saya. Demi untuk mendapatkan ijazah yang kedua saya sanggup lakukan apa sahaja. Betul, mahu menyambung pengajian perlu kan duit yang cukup. Perlukan kepada perbelanjaan yang besar. Ini mungkin payah untuk saya sediakan. Berkat menyimpan, ada lah duit untuk berbelanja disini dan membayar yuran pengajian di sokong dengan duit gaji yang bakal diperoleh. Pagi pergi berkerja, minum pagi berbekalkan teh o panas di mamak dan pada sebelah tengaharinya saya bergilir-gilir beli makanan dengan sahabat saya. dan sebelah malamnya pula, makanan tengah hari tadilah makanan saya. saya sudah selesa begini. Bukan mudah untuk berjaya kan? Semuanya perlu berkorban. Masa, tenaga dan keewangan. Makin hari wang makin surut. Gaji yang entah bila kunjung tiba. Keperluan makin menuntut. Saya yakin, rezeki semua di tangan Allah. Apa yang pasti, nasi, ikan goreng sejuk, kuah gulai tengahri dan sambal adalah rencah kehidupan saya. Biarlah apa orang mahu kata. Saya sudah selesa begini. Mungkin mereka anak orang-orang kaya. Tidak makan seperti saya. Biarlah. Mereka kaya dengan harta keluarga dan ayah mereka. Biarlah. Inilah bujukan hati. Agar hati ini kekal tabah untuk harungi segalanya. InsyaAllah. Saya mesti tabah. Semua ini ujian segalanya. Saya yakin, ALLAh tidak pernah zalimi umatnya. Ada rezeki yang terselit. Tabahlah! Ada orang lain yang lebih susah!
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
P/s: saya teringat pada pinggan nasi dan lauk yang saya gunakan tadi. Adakah ia akan saya gunakan lagi 5 tahun lagi? Pastinya tidak. Mungkin zaman berubah. InsyaAllah, sudah berkerjaya pada waktu itu. Tapi adakah orang yang memahami erti kegetiran belajar yang memerlukan pengorbanan yang mutak? Anak-anak saya nanti mungkin tidak begini. Mungkin mereka lebih senang. Harapannya begitulah. Moga-moga ini lebih mengajar erti ketabahan. InsyaAllah.
Saya tidak mohon simpati, sekadar meluahkan rasa yang terbuku. Mencoret rasa. Membujuk lara.
Amar
Tanjong Malim
KUO.