Pages

Sunday, October 16, 2011

Bengkel Analisis Data SPSS : Peringkat Permulaan


Tanggal 16.10.2011. Ahad. 

Berpagi-pagi lagi bangun dan mengerjakan subuh di pagi hari. Seperti biasa, saya akan mandi dan solat seperti mana  biasa. Hari ini ada majlis ilmu di kampus. Sebelumnya saya mendaftar nama di IPS sebagai salah seorang peserta mengikuti bengkel SPSS bagi peringkat permulaan. Makanya, pagi ini saya bangun dengan penuh bersemangat dan penuh iltizam. Saya sampai di makmal komputer awal sedikit. Pintunya masih belum dibuka lagi. Tetapi pensyarahnya sudah hadir bagi memberikan ilmu! Inilah kelemahan apabila bengkel dibuat pada hari bercuti. Orang yang di pertanggungjawaban untuk melunaskan apa yang perlu tidak efektif melakukan tugas. Sempat juga saya dan beberapa peserta lain menunggu di luar makmal selama 15 minit sebelum pintu dibuka. Majlis bermula. Dr Jamal daripada FPE sebagai moderator pada bengkel kali ini. Beliau juga merupakan kenalan kepada penyelia saya. Lulusan Doktor Falsafah Pengurusan Pendidikan dari UUM. Sebuah universiti pengurusan yang saya fikir tempat orang-orang hebat statistik berkutub khanah. Beliau memulakan bengkelnya. Segala inputnya bernas dan jitu. Sama seperti mana apa yang diajar oleh penyelia saya. Saya juga ditanya oleh beliau, daripada Fakulti mana dan kursus apa yang diambil. Saya memberikan penjelasan mengatakan saya daripada FSK, pengkhususan Geografi (Pengangkutan), maka beliau terus menyapa, mengatakan adakah penyelia saudara Dr Mazdi? Saya mengiakan pertanyaan beliau dan menyatakan ‘ awak hubungi dia pun boleh kalau nk blaja statistik’. Sebelumnya saya ditegah oleh penyelia saya agar tidak memaklumkan yang saya merupakan anak buah kepada Dr Mazdi. Tapi apakan daya, beliau bertanya dan saya menjawab secara jujur. Kelas dan bengkel diteruskan. Secara kasarnya, sememangnya kelas ini adalah untuk bagi mereka yang baru sahaja ingin memulakan penyelidikan. Diajar secara asas dari memasukkan data sehinggalah cara analisis data deskriptif dan sedikit statistik inferens. Secara keseluruhannya, saya hanya pergi ‘memanaskan’ nasi sahaja. Alhamdulillah. Banyak juga yang saya recall ilmu sarjana muda dahulu sewaktu menulis tesis. Di akhir bengkelnya, beliau menyarankan agar ke kelas analisis data Intermediate agar pemahaman tentang konsep analisis data yang lebih tinggi dapat diketahui. Saya menunggu kelas yang berikutnya. Dan target saya, kalau boleh semua kelas atau bengkel SPSS yang dianjurkan oleh IPS aya akan ikuti bagi menambah ilmu yang sedia ada dengan harapan jika saya ada peluang untuk sambung ke peringkat kedoktoran kelak, saya tiada masalah bagi bab analisis data. Insya-Allah.  



P/S: Setakat ini, apa yang diajar boleh saya faham dan ada beberapa ilmu baharu yang saya terima. Perlu dan senantiasa menambah ilmu. Janganlah kita sombong dan bongkak dengan ilmu yang kita ada. Kerana apa? Ilmu yang kita miliki juga hak Allah. Hak yang pastinya untuk dikongsi. Tidak rugi berkongsi ilmu dan terang menerang antara satu dengan yang lain agar apa yang kita peroleh senantiasa dimurnikan.  Dalam menulis kajian, konten haruslah mantap, penulisan dan kesantunan berbahasa yang baik dan Kemahiran mengupas dan analisis data amat diperlukan bagi memastikan tesis yang ditulis adalah mantap dan ada kebaharuan dalam dunia akademik.

Kata salah seorang pensyarah saya ‘kita menulis tesis bukanlah kita ingin menyelesaikan masalah dunia, tetapi apa yang kita tulis ini merupakan latihan akademik yang melayakkan kita diijazahkan sebagai penerima ijazah kedoktoran, perlu melalui beberapa fasa dan proses mematangkan kita’. Kata-kata ini akan saya ingat. Tambah beliau, ‘secangkir daripada apa yang kita tulis cubalah cari novelty nya. Ini baharu dikatakan sebagai mencerna dan membina cabang ilmu’ .. Ingat ya, carilah noveltynya! Pasti ada! Barulah P.hD! hehe' Ujar beliau.


Akan terus melangkah, tiada noktahnya!

Amar
Teratak Damai. Ketoyong. Tanjung Malim.