Pages

Sunday, December 25, 2011

Allah. Inilah Guru yang Sebenar. Super Duper Murabbi!


Ramai dalam  kalangan para cendekiawan terdahulu mempunyai ilmu yang tinggi, darjat yang tinggi di sisi Allah Azzawajalla. Banyak menulis buku dan kitab-kitab muktabar agar ilmu yang dipaparkan di dalam kitab atau buku yang ditulis di baca oleh anak muda agar ilmu yang dikembangkan tersebar. Namun pernah atau tidak terdetik dalam diri bahawa Hassan Al-Banna tidak pernah menulis buku waima dirinya mempunyai darjat ilmu yang sangat tinggi.

Maka persoalan ini dijawab sendiri oleh beliau. Katanya……


“Biarkan aku tidak menyibukkan diri menulis buku-buku. Setinggi manapun idea dan buah fikiran yang terkandung di dalam sesebuah buku, semuanya terkurung di dalam kulit buku tersebut dan terhampar di atas lembaran-lembarannya sehinggalah buku itu terserempak dengan pembaca yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk memahaminya dan mengambil manfaat daripadanya. Dan jarang sekali buku-buku itu akan menemui pembaca jenis ini. Di samping kebanyakan mereka yang mempunyai kemampuan untuk memahami fikrah yang terkandung di dalam buku itu tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaca dan menelitinya. Dan kebanyakan mereka yang memperoleh buku-buku itu mereka memperolehinya untuk menghiasi rak-rak di rumah mereka dan perpustakaan-perpustakaan yang padat dengan pelbagai jenis ilmu yang ditulis berjilid-jilid. Sungguhpun begitu umat Islam yang lemah tidak mendapat sebarang faedah daripadanya. Mereka tidak mempunyai cita-cita yang tinggi, malas, tidak bersemangat dan lebih mementingkan hidup senang dan mewah. Akibatnya mereka di lingkungi musuh dari segenap penjuru. 

Justeru, waktu yang aku perlu habiskan untuk menulis buku, aku gunakan untuk membentuk seratus pemuda Islam. Setiap orang daripada mereka menjadi sebuah buku yang hidup, bercakap, beramal dan meninggalkan kesan. Aku hantarkan setiap orang daripada mereka ke sebuah Negara daripada Negara-negara Islam, lalu mereka membentuk para pemuda di situ sebagaimana aku membentuk mereka.”  (Jalan Juang, 2011)

 Allah. Saya terpana apabila membaca tulisan yang telah dinukil kan oleh Hassan Al-Banna ini. Inti patinya saya ambil daripada blog sahabat saya. Ini membuatkan saya terfikir apakah dengan cara menjadikan ‘buku bergerak’ yang dimaksudkan oleh Hassan Al-Banna ini sudah cukup untuk di jadikan terminal penyebaran ilmu kelak? Tafakkaru. Mari sama-sama kita hayati dan fikirkan.

Sekian.
Teratak Damai.
Ketoyong. Kota Ilmu.

Menjengah Rasa.


Tanggal 25 Dis. 2011. Ahad. 

Menjengah rasa. Apa yang jelas entri ini tentang tahun baharu yang bakal menjengah rasa tidak lama lagi. Tahun silih berganti. Baju pun kalau sudah ketat makanya haruslah ditukar dengan yang baharu. Sayang selesa dipakai. Sama juga dengan tahun. Tahun 2012 bakal menjelang tiba.  Serasa tidak sabar untuk memulakan tahun baharu yang penuh dengan cabaran pastinya. Tatkala berteleku di meja santapan tadi, saya teringat waktu dahulu. Tahun silih berganti. Iman kita bagaimana? Dan secara relatifnya bilamana tahun bertambah maka umur juga bertambah. Makin hari diri ini makin tua. Perancangan masa hadapan haruslah jelas dan bermatlamat. Apa yang bakal dibuat. Kita perlu rancang. Walaupun apa yang kita rancang tidak semestinya tercapai, namun kita ‘pernah’ merancang. Sekali merancang, kita sudah menang sebenarnya. Menang dari aspek berjaya merancang  masa  yang berbaki untuk kemajuan diri dan seterusnya. Walaupun tidak sempat atau tidak berjaya melunaskan segala perancangan tersebut namun kita berjaya merancang dan pernah berada dalam benak kita untuk merencana perjalanan hidup yang masih lagi berbaki.  Apa pun kita sebagai manusia, ingatlah bahawa kita akan dijemput oleh Allah Azzawajalla kelak. Umur bukan penentu. Walau se kaya dan se mewah mana pun kita, tetaplah ia pinjaman yang Allah taala pinjam kan ‘seketika’ kepada kita yang bertuah ini. Matlamat saya juga sama seperti mana entri perutusan yang telah saya karangkan sebelum ini. Pandanglah masa hadapan secara objektif. Apa pun cara sekalipun. Secara objektif.

P/s: coretan ini sekadar mengingatkan diri tentang perancangan masa hadapan. Agar lebih jelas dan bermatlamat. Hidup kena ada target. Siapakah kita pada 20 tahun akan datang? Hehe kita merencana, Allah yang menentukan. Amen.

Teratak damai
Ketoyong. Tanjung Malim.