Tanggal 15. Disember. 2011 (Khamis)
Serasa mahu menulis. Terpalit indah pada bahasa dan inti pati tulisan seorang profesor yang prolifik. Kagum dengan tulisannya. Beliau bukanlah seorang penulis yang pandai berbahasa namun setiap daripada hasil tulisannya merupakan azimat dan kekuatan yang boleh kita ambil iktibar daripada bait makna tulisannya. Telah saya mohon ‘perkongsian’ ini dengan beliau. Mari kita sama-sama lihat inti pati yang serasa saya agar ‘wajar’ dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan kita seharian.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Saya seorang profesor. Agaknya dalam dunia akademik dikira sudah cukup tinggi. Di Malaysia, ia termasuk dalam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).Saya selalu menyebut bila berceramah, “Jika saya di Segamat, maka – mengikut protokol – sayalah yang tertinggi dari segi kedudukan susunannya”. Pada ketika itu, sayalah satu-satunya yang bertaraf JUSA.Dan jika memberi tazkirah kepada pemandu-pemandu UiTM Johor, saya sering menyebut,
“Mengikut aturannya, gaji tuan-tuan tidak akan dapat menandingi gaji saya. Saya pengarah, tuan-tuan pemandu. Darjat dan kuasa saya lebih tinggi. Saya masuk kampus, ditabik. Tuan-tuan tidak dipandang dengan sebelah mata pun.
Itu hukum dunia. Hukum Allah berbeza. Orang-orang yang mulia, berkuasa, berdarjat hanyalah mereka yang beriman dan bertaqwa di sisiNya. Jadi, tuan-tuan boleh jadi manusia yang berkuasa, berdarjat dan lebih mulia dengan hampir kepadaNya.
Jika saya ajak solat berjemaah, marilah lakukan. Marilah kita bersolat malam. Tuan-tuan sudah diberi nikmat Allah menjadi pemandu saya yang mahu ke masjid. Tuan-tuan boleh ikut sama ke masjid.
Jadi, sudahlah kita pemandu, pemandu yang hina di sisi Allah. Tidak mahu begitu. Biar kita lebih baik daripada profesor Madya yang tidak mahu solat di masjid, lebih baik daripada Ustaz yang enggan solat berjemaah dan lebih baik daripada Penolong Pendaftar yang tidak pernah bangun malam”.
Kini, hampir setiap malam saya menuntut ilmu dengan Sheikh di Haram. Bersama saya ada dua profesor yang lain dan beberapa pelajar daripada Universiti Madinah. Tahap kami berbeza-beza.Bila berhadapan dengan Sheikh, seorang profesor hanyalah seorang anak murid. Tidak lebih dan tidak kurang. Ada adab-adab yang perlu dijaga. Buang ego, buang rasa besar diri dan berniatlah untuk belajar semata-mata kerana Allah.
Allahu Akbar, semalam saya melihat Sheikh berkata, “jika ente pandai, ente tidak perlu belajar dengan saya,” agaknya fed-up apabila orang mahu berjawab-jawab apabila ditegur.“Sabar.. sabar…,” ditepuknya meja apabila ada yang berlumba-lumba mahu bercakap.Saya terkenang ketika menyampaikan tazkirah di Haram ketika musim haji. Emmm… ada juga yang begitu. Saya berdoa agar saya menjadi anak murid yang dikasihi Allah dengan menghormati guru-guru saya.Saya mohon keampunan Allah.
P/s: Saya sangat suka 'post' ini. Indah maksudnya. Apa pun kita, hebat mana pun kita tetap jua pinjaman daripada maha pencipta jua. Seorang profesor juga 'tidak' mampu untuk ambil peduli semua perkara bahkan AKAN ada bahagian-bahagian yang mungkin beliau tidak tahu dan memerlukan tunjuk ajar daripada orang yang lebih hafaz dan maklum tentang apa jua bidang yang diceburi. Senantiasalah kita merendah diri dalam segala hala kerana fitrah kejadian manusia itu pun tidak sempurna, bukanlah maksum daripada segala khilaf dan salah. InsyaAllah. Semoga diri ini senantiasa berada dalam kalangan orang-orang yang senantiasa merendah diri dan tidak lokek ilmu dengan sesiapa sahaja pun. Amen.
Teratak Ilmu
Tg Malim. UPSI
Pejabat.