Pages

Friday, April 27, 2012

Allah. Semoga ada sinar rezeki. Amen!

KENYATAAN MEDIA
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN
MENGENAI ISU PENEMPATAN GRADUAN PENDIDIKAN
INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh graduan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan telah mengambil langkah-langkah prakmatik dalam menyelesaikan soal penempatan mereka di sekolah-sekolah KPM.

Beberapa ketetapan dan penyelarasan telah dibuat bagi memastikan graduan ISMP yang belum ditempatkan dapat diserapkan di sekolah-sekolah bermula Mei ini.

Seramai 5,510 graduan IPTA telah mendapat panggilan temuduga dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai Januari tahun ini. Proses temuduga telah diadakan secara berfasa.

Seramai 4,953 graduan telah hadir dan dari jumlah tersebut SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila mereka tidak menghadirkan diri pada hari temuduga itu dijalankan.

Seramai 4,859 graduan telah berjaya dalam temuduga manakala 62 graduan telah gagal kerana tidak memenuhi empat (4) elemen yang dinilai iaitu keterampilan diri dan sikap, keupayaan berfikir dan kemahiran berkomunikasi, pengetahuan am dan isu semasa pendidikan serta pengetahuan bidang tugas.

Bagi sejumlah 4,859 graduan yang berjaya dalam temuduga, 29 graduan telah diberi penempatan ke Pusat Anak Permata Negara pada 8 April lalu.
Baki 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa. Penempatan Fasa 1 akan dilaksanakan pada 23 Mei 2012 dengan melibatkan 4,671 graduan.

Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Baki 159 pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa 2 pada bulan Julai 2012 .

Pecahan graduan ISMP mengikut IPTA adalah seperti berikut :
Universiti Utara Malaysia (90), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017), Universiti Pertanian Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

Pada Januari 2012, KPM telah melantik 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan sebagai Guru Interim bagi memenuhi keperluan pengisian guru-guru di Sekolah Menengah. Berikutan penempatan ini, perkhidmatan Guru Interim tersebut akan ditamatkan. Walaubagaimanapun, Guru Interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei 2012 berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT.

Guru Interim adalah guru yang dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi kekosongan sementara di sekolah-sekolah KPM. Perkhidmatan mereka adalah sehingga akhir tahun 2012 dan boleh ditamatkan dengan notis sebulan apabila terdapat bekalan guru tetap yang diterima dari SPP.

Status Graduan Pendidikan Institut Pendidikan Guru (IPG)
• Pada Jun 2012, terdapat 2,484 graduan J-QAF keluaran IPG untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan. Kesemua mereka akan melalui urusan temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.

Status Graduan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)
• Bagi graduan IPTS, urusan temuduga dan pengambilan tidak dilaksanakan pada masa ini kerana KPM memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah diunjurkan lebih awal oleh KPM kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan KPM.

Graduan boleh melayari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran www.spp.gov.my untuk mengetahui samada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan oleh KPM dalam sedikit masa lagi.

Saya berharap kenyataan media ini dapat menerangkan dengan jelas kedudukan ISMP IPTA. Kepada yang telah berjaya di dalam temuduga dan akan diberikan penempatan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya ucapkan tahniah. Semoga anda semua akan menjadi Guru yang berdedikasi dan dapat berbakti kepada negara. Kepada yang gagal pula, masih ada lagi ruang untuk terus berusaha.

YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pelajaran
Sumber:
www.spp.gov.my

0 comments: